Monday, May 21, 2012

Baluh




Tajuk : Baluh

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Mungkin ramai di antara kita sudah tidak tahu apa itu “baluh” dan apakah fungsi baluh di alam melayu ini. Di negeri Kedah baluh disebut Jelapang atau Kepuk. Baluh , Kepuk atau Jelapang adalah merupakan satu binaan tempat simpanan padi selepas dituai sebelum diproses menjadi beras dengan menggunakan Lesung menumbuk padi atau dengan menggunakan mesin secara moden.

Kini Baluh sudah kehilangan fungsinya, malah semakin terpinggir dan dilupakan. Baluh atau jelapang terutamanya di negeri negeri sebelah utara kini hanya tinggal memori dan kalau ada pun sudah menjadi muzium keluarga atau telah diubah fungsinya menjadi stor barang.

Orang Melayu dulu pernah menjadikan Baluh sebagai lambang kekayaan mereka, semakin besar Baluh mereka, menandakan yang seseorang itu semakin kaya dan mempunyai tanah sawah padi yang luas. Selain itu orang melayu dahulu kala suka menyimpan padi sebagai stok makanan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini seperti peperangan , kemarau panjang, banjir besar dan sebagainya. Sekiranya berlaku perkara yang tidak terduga oleh mereka, mereka masih mempunyai sumber makanan yang menjadi asas keperluan utama untuk kelangsungan kehidupan manusia.

Sifat mengambil langkah berjaga-jaga ini semakin terhakis dalam masyarakat melayu kita sekarang.Mungkin juga kerana generasi muda kita ini tidak pernah merasai zaman derita dibawah penjajahan , zaman perang dan darurat.

Semoga orang melayu kita sedar dan kembali mengamalkan sikap berjaga-jaga ini. Lebih baik lagi jika dapat membina Baluh dan menyimpan makanan dalam bentuk padi. Padi tahan lama. Padi adalah bekal yang terbaik kerana disamping ia boleh diproses menjadi beras, ia juga boleh digunakan untuk penghasilan benih yang baru.Itu sebab penduduk pribumi seperti orang asli suka membawa bersama mereka padi huma sebagai bekal berpindah randah.

Lebih elok lagi sekiranya Baluh itu dibina oleh setiap orang melayu dirumah masing-masing dan diubah suai sedikit agar binaannya menjadi lebih kukuh dengan menggali kubu dibawahnya. Di waktu ini memang kita rasakan itu semua tidak perlu kerana Negara kita masih aman, namun sedarlah wahai orang melayu semua, di sebuah Negara jiran kita sehingga kini telah mempunyai lebih daripada 500 buah kubu bawah tanah yang boleh memuatkan kira-kira 900,000 nyawa. Untuk apa mereka dirikan begitu banyak kubu bawah tanah saudara saudaraku sekalian? Fikirkan.







Mereka juga telah bersedia dengan stok-stok makanan dan ubat-ubatan seperti berikut.




Sifat datuk nenek kita dahulu cukup berjaga-jaga, kalau tidak percaya pergi tanya mereka. Adalah menjadi satu kewajipan bagi mereka menyimpan sekurang-kurangnya sebilah golok atau keris dibawah bantal mereka ketika mereka itu tidur! Untuk apa itu semua saudara? Fikirkan. Pesanan ini diselitkan secara halus dalam sebuah peribahasa seperti “sediakan payung sebelum hujan”.

Jadi apa salahnya kita mengikuti cara mereka itu dengan mengambil sikap berjaga-jaga dan selalu berwaspada. Bayangkanlah jika Bandar Kuala Lumpur di bedil dan diserang dari udara, apa akan jadi saudara? Lebih teruk lagi Bandar KL tidak dilengkapi oleh Siren Amaran Serangan Udara seperti Ibukota Singapura atau Manila. Di Singapura, rakyatnya sudah dibiasakan dengan ujian bunyi siren amaran serangan udara ini sebulan sekali iaitu setiap minggu pertama tepat jam 12 tengahari.Mereka nampaknya sudah tidak sabar lagi untuk ‘makan besar’!!!

Baca dan lihat dalam Hikayat Hang Tuah, beliau merupakan seorang pendekar sufi yang selalu berwaspada hatta ketika tidur pun beliau begitu berhati-hati.

“ Maka Sang Kertaksa masok-lah ka-dalam rumah Laksamana lalu ka-tempat tidor Laksamana. Maka di-lihat-nya kelakuan Laksamana tidor itu naga kepulir ( tidur bertindih nafas kanan-lambong kanan). Manakala keris panjang diselit di rusuk kiri dan keris penduanya ( keris pandaknya) diselit di rusok kanannya-kedudukan kedua tangan. Maka dalam hatinya: `Sunggoh-lah Laksamana ini hulubalang besar lagi penjurit kepetangan dan terlalu berani, tidor-nya pun terlalu ingat (berjaga jaga).” ( Hikayat Hang Tuah - ms 250 )

Sila baca artikel di sini ,bagaimana sebuah negara kecil tetapi bercita-cita besar, sekutu zionis sedang membuat persiapan rapi untuk menempuh hari-hari sukar yang mendatang, namun apakah kita juga sudah bersedia ???

Oleh itu, mari sediakan payung dahulu sebelum hujan, barulah boleh berkata “ alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan” dan barulah boleh berkata “ berpantang mati sebelum ajal” barulah kekal slogan “takkan melayu hilang di dunia” !!!

Dari dulu hingga kini saya amat tidak menyukai slogan “ 1 Malaysia ”, kerana pada pendapat saya slogan itu akan melemahkan melayu islam, matlamatnya kabur dan bermotifkan keuntungan politik sedangkan ia menghampiri ungkapan NWO - 1 World Government. Perpaduan yang diharapkan wujud hasil dari laungan 1 Malaysia itu hanya akan menjadi ‘Perpaduan Kosmetik’ dan ibarat telur dihujung tanduk! Saya tidak pasti samada ianya diungkap secara kebetulan atau sudahpun dirancang beratus-ratus tahun yang lalu oleh Freemason dan Illuminati yang menjadi hamba Dajjal dan Iblis. Mengikut plan mereka Perang Dunia Ketiga mesti dijalankan disebelah Timur Dunia untuk membentuk New World Order : 1 World Government, perhatikan huruf G dalam logo FREEMASON, ia sebenarnya merujuk kepada Government!

Perlu diingat sekali lagi saudaraku sekalian,Pada pendapat saya perancangan penubuhan sebuah Negara yang bernama Malaysia bermula seawal kedatangan Jesuit ke Nusantara iaitu St Francis Xavier.

Pergerakan menjayakan agenda mereka dijalankan secara senyap dan sulit. Pada tahu 1927 barulah batu asas Freemason diletakkan di Northam Road di Pulau Pinang.Namun satu kajian yang telah dijalankan oleh UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polis mengatakan bahawa nama MALAYSIA sudah ada pada tahun 1889 lagi.Ini maknanya perancangan penjajah barat memecah-belahkan dan melemahkan dunia Melayu sudah beratus-ratus tahun dirancang oleh FREEMASON.Nama Malaysia telah ada sebelum kita merdeka dan sebelum penubuhan Negara Malaysia pada 1963.

Selang 10 tahun selepas perletakan batu asas itu, penasihat luar USA Professor Rupert Emerson telah membentangkan kertas kerjanya di HARVARD UNIVERSITY .Kritikan perancangan penubuhan MALAYSIA juga telah dibuat pada tahun1937.USA gelarkan Professor ini sebagai "specialist on nationalism in Asia". Waktu itu beliau menjawat professor of political science and international relations in Harvard University.

Dokumen rahsia USA mengenai penubuhan negara Malaysia bertajuk :

"Foreign Relations, 1964-1968, Indonesia; Malaysia-Singapore; Philippines.Editor: Edward C. Keefer General Editor: David S. Patterson, United States Government Printing Office, Washington, 2001."

seperti di atas telah dibuang oleh USA di dalam website rasminya setelah artikel mengenainya diterbitkan di Universiti Teknologi MARA.

Itu sebabnya saya lebih gemar menyebut nama Negara ini sebagai Tanah Melayu berbanding dengan nama Malaysia, kerana nama Malaysia ini sudah dirancang sebelum merdeka dan sebelum penubuhan Negara Malaysia lagi.

Alangkah indahnya jika slogan 1 Malaysia itu ditukar kepada “1 Melayu Semua Islam”.

Kini usaha-usaha kearah NWO semakin kuat, huru hara dan kacau bilau perlu sentiasa dicetuskan dan disegerakan. Teknik pecah dan perintah akan digunakan selepas itu oleh mereka.
Proksi mereka kali ini bukan dari orang luar, tetapi mungkin orang melayu juga terlibat.

Anda semua sila baca artikel- artikel dibawah ini dengan minda yang terbuka dan buangkan sentimen politik anda seketika. Selepas itu bertafakurlah sejenak, beristigfar dan mohonlah petunjuk dari Allah swt.

Artikel 1:


Artikel 2 :


Selamat membaca....

*[ Artikel ke - 150 sangtawal sakranta ]

Saturday, May 05, 2012

Apa Yang Orang Melayu Islam Patut Tahu.



Tajuk : Apa Yang Orang Melayu Islam Patut Tahu.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Kali ini saya hanya ingin berkongsi sedikit maklumat dengan pembaca sekalian. Maklumat ini saya temui di blog seorang lelaki yang baru memeluk islam. Semoga kita semua sedar dan berhati-hati dengan agenda halus yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu untuk menghancurkan islam di bumi nusantara ini. Tulis beliau :

Pada tahun 2001, bertempat di Holiday Villa Resorts Langkawi, sebelum terjadinya insiden' 9/11' sekumpulan Paderi serta Pastor diseluruh dunia berkumpul disana dan agenda mereka adalah untuk 'mentarbiah Kristian" kepada seluruh Asia Tenggara , tujuan untuk "Mengembangkan Kristian kepada seluruh masyarakat di Asia Tengara'. Lebih kurang 3 minggu mereka menghabiskan masa untuk membuat strategi untuk tujuan ini, dan kini kita lihat, pergerakan Kristian ini ibarat virus' dan kini menjalar diserata pelosok negeri di negara kita.

Baca tulisan beliau seterusnya disini :

KLIK


Selepas itu saya mohon kepada anda semua agar membaca pula artikel sahabat seperjuangan saya ini –abatasa - dengan rasional dan hati terbuka :

KLIK

Juga sila baca artikel dibawah untuk mengetahui rancangan- rancangan jahat musuh islam :

KLIK


*[ Artikel ke-249 Sangtawal Sakranta ]...

Monday, April 30, 2012

Kelahiran Anak Kuda - Sabaha



Tajuk : Kelahiran Anak Kuda: "SABAHA"

Oleh : Sangtawal Sakranta.


Pada pagi jumaat , 27/4/2012 yang lepas saya dikhabarkan dengan satu berita gembira iaitu Sitra telah selamat melahirkan seekor anak kuda jantan kacukan baka arab.Tanpa berlengah lagi saya pun terus pulang ke kampung saya untuk melihat anak kuda tersebut.



Alhamdulillah, semuanya selamat.Sitra melahirkan sendiri anak sulungnya tanpa pertolongan atau observation dari kami, mungkin dalam sekitar jam 4.00 atau 5.00 pagi. Kelahiran adalah awal 2 minggu dari tarikh yang dijangkakan.



Amat bersyukur sekali kerana anak kuda yang dilahirkan itu sangat comel dan banyak mewarisi bentuk fizikal seekor kuda arab terutamanya dibahagian muka, telinga dan ekornya dari sebelah bapanya. Berbaloi rasanya membelanjakan RM 2K untuk pembakaan dengan kuda arab pada 4/6/2011 yang lalu. Saya menamakan anak kuda yang baru lahir ini SABAHA, sempena mengambil nama salah seekor kuda kesayangan Rasulullah saw yang pernah dipelihara dan ditunggang oleh Baginda serta pernah menang dalam perlumbaan kuda.



Dijangkakan kuda ini akan mempunyai saiz fizikal yang lebih besar dan ketinggian melebihi ibunya bila ia dewasa nanti. Jika dilihat kepada aras lutut Sabaha dan ibunya sekarang ini pun sudah sama .Semoga Sabaha cepat membesar dan masuk kategori saiz Kuda Kacukan Kelantan A.

* Sabaha dan ibunya Sitra- hari pertama kelahiran.

Mungkin antara sebab Sitra melahirkan anak lebih awal dari jangkaan adalah kerana kami telah membawa Sitra bersama 7 ekor kuda lain termasuk kuda jantan saya Black pada 11/4/2012 ( cuti hari keputeraan YDP Agong ) yang lalu , menunggang secara agak lasak ( kami panggil 4x4 endurance .. !!! he he he ) dalam hutan melalui jalan orang mengeluarkan balak di Bukit Batu Tapong. Kami mula memasuki jalan balak itu jam 9.30 pagi dan kembali semula sekitar jam 3.00 petang! (tak tahu la dalam berapa kilometer jaraknya). Perjalanannya agak mencabar tetapi amat seronok ketika mendaki bukit curam, menyelusuri anak sungai dan jalan yang agak berlumpur.


*Sitra yang sedang sarat mengandung ( memakai saddle cloth merah) juga mengambil bahagian.



*Menuruni cerun yang agak curam.


*Semasa berada dipuncak bukit.Sitra ditunggang oleh anak saudara saya.


*Kami rehat sambil makan tengahari. (Nama Kuda dari kiri - Black, Boy, Kikinana, Shazan)


Kuda memang binatang yang hebat, boleh ditunggang hingga ke hari ia bersalin dan sudah boleh berlari dihari pertama selepas bersalin! Betul lah seperti kata orang-orang yang arif tentang kuda, kuda yang selalu dinaiki dan agak lasak senang untuk melahirkan anak.

*[ Artikel ke - 248 Sangtawal Sakranta ] ...


Saturday, April 14, 2012

Rahsia Bengkong Lilit Pinggang Orang Melayu



Tajuk : Rahsia Bengkong Lilit Pinggang Orang Melayu

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta


Orang melayu dulu – dulu memang tidak boleh dipisahkan dengan kain lilit pinggang yang disebut bengkong atau bengkung. Bagi wanita melayu, amalan berbengkong bukan sahaja menjadikan bentuk tubuh badan mereka bertambah menarik malah ianya juga dipercayai boleh mengelakkan perut menjadi buncit.Sehingga kini amalan memakai bengkong masih diamalkan terutamanya ketika lepas bersalin.

Bagi lelaki melayu pula, amalan berbengkong sudah menjadi lumrah harian mereka. Jika di negeri sebelah pantai timur, lelaki melayu dulu-dulu biasanya boleh dikatakan setiap dari mereka wajib memakai atau membawa dua helai kain yang disebut ‘kain lepas’[ nipis, panjang seperti selendang], satu untuk diikat di pinggang dan satu lagi untuk dililit pada kepala.

Bagi pendekar melayu pula, pelbagai warna, jenis dan cara berbengkong mempunyai makna dan rahsianya yang tersendiri.

Mengapa pula pendekar melayu mengamalkan melilit pinggang mereka sebelum makan? Dan cara makan orang melayu pula ialah duduk bersila?Jika dikaji dan diteliti, banyak rahsia yang tersembunyi dalam setiap perlakuan orang melayu itu sendiri.

Mengapa pula ketika ingin pergi berperang atau bertikam pendekar melayu melilitkan kain bengkong secara berlapis-lapis pada perut dan pinggangnya? Tentu ada rahsia besar yang tersembunyi .

*Berkain semutar di kepala dan berkain lepas sudah menjadi kebiasaan orang melayu dulu.

Bagi kebanyakan pendekar , seni keris merupakan seni tertinggi, namun ramai yang tidak tahu ada lagi seni yang lebih rahsia , contohnya ‘seni cindai’ dalam silat gayong yang menggunakan kain. Dikatakan ilmu seni Cindai itu pertama kali diperturunkan oleh ADMAR kepada anak perempuannya Siti Aisyah dan mula diajarkan ilmu ini kepada murid-murid yang terpilih hanya bermula pada tahun 1964. Dulu dikatakan Arwah Mahaguru Dato’ Meor pernah menggunakan hanya seutas tali tasi halus untuk mengerat dan memutuskan sebatang dahan pokok Rhu sebesar betis orang dewasa di Pantai Cahaya Bulan.

Tentang kain Bengkong yang dililit berlapis-lapis pada pinggang dan perut ini, mari kita soroti cerita bagaimana persediaan pemakaian Laksamana Hang Tuah sebelum berdepan dengan Hang Jebat.

“Maka Laksamana pun meniarap pada kaki raja, seraya memakai di hadapan raja: pertama dipakainya serual beledu hijau sampai kelutut-nya, sudah itu maka berkain hijau di-gansi yang bertepi emas di-pahat bersirat, di-ragam dan ikat pinggang khatifah tujoh belit bersurat ayat Quran dan berbaju kesumba murup bersurat do`a besar-besar dan memakai keris Parong sari itu. Maka mastul pemberian Syeikh Mansur itu di-pakai-nya…”

( Hikayat Hang Tuah - ms.313).


Dalam peristiwa itu, bila keris Taming Sari berada di tangan Hang Tuah, maka Hang Jebat tahu amat sukar untuk mengalahkan seni keris, tambahan pula, keris yang dipakai oleh Hang Tuah adalah Taming Sari, maka Hang Jebat teringat akan pesanan guru mereka Sang AdiPutra dan Sang Persentanala bahawa masih ada lagi seni lain yang boleh mengatasi seni keris, lalu Hang Jebat dengan pantas menarik kain langsir istana untuk dijadikan senjata, tapi malangnya ketika kain itu jatuh, ia menyelimuti tubuh Hang Jebat dan membatasi pergerakannya.Maka ketika itulah Hang Tuah mengambil kesempatan menikam sahabatnya itu.

Cerita sebab kematian Hang Jebat di tangan Hang Tuah sebenarnya banyak versi jika kita membaca dari berbagai sumber, namun apa yang cuba saya ketengahkan dalam artikel ini ialah masih ada lagi seni yang menggunakan ‘kain’ untuk berdepan dengan musuh.Namun harus diingat , seni ini perlu diisi dengan kebatinan peringkat tinggi dan biasanya hanya murid-murid terpilih sahaja yang diajar ilmu ini. Kita juga sepatutnya berbangga dengan amalan serta cara pemakaian orang-orang tua kita dahulu seperti berbengkong kerana ia mempunyai banyak rahsia yang tersembunyi.

Teringat pula kehebatan cerita Kiyai Salleh dengan selempang merah dan parang panjangnya yang terbang tanpa tuan memenggal kepala musuh ketika melawan komunis sehingga diiktiraf oleh Almarhum Sultan Johor iaitu DYMM Sultan Ibrahim sebagai Panglima Melayu pada tahun 1945 . Itu adalah contoh berkaitan dengan seni kain juga , dalam bentuk selempang…



*Selempang merah dan parang panjang


Ermm... semoga masih lagi ada melayu yang mengamalkan seni-seni rahsia seperti diatas.... dan semoga Tak kan Melayu Hilang Di Dunia...


*[ Artikel ke- 247 Sangtawal Sakranta ]



Thursday, March 29, 2012

Fitnah Dajjal : Pertubuhan Gay Muslim.




Tajuk : Fitnah Dajjal : Pertubuhan Gay Muslim.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Masyarakat muslim di Negara kita tidak terlepas dari ancaman ini sekiranya kita tidak peka dengan persekitaran dan perkembangan dunia semasa.Tanpa disedari anak muda yang kita harapkan bila dewasa nanti akan menjadi tiang Negara akan tewas dengan fitnah Dajjal ini, iaitu akan terjebak dengan perangkap LGBT.

Jangan salahkan takdir jika terjebak dalam gejala sonsang ini, sila salahkan diri sendiri kerana menurut National Association For Research & Therapy Of Homosexuality ( NARTH ) :

“Tiada bukti menunjukkan Homoseksualiti bersifat genetik dan tiada penyelidikan mendakwa kewujudannya”

Ia juga diakui oleh American Psychiatric Association yang turut mengesahkan bahwa tiada kajian saintifik yang menyokong bahawa manusia memang dilahirkan sebagai Gay.



Untuk merealisasikan rancangan jahatnya Dajjal menggerakkan wakil-wakilnya di seluruh dunia untuk memperjuangan nasib golongan ini.

Kini sudah terdapat beberapa pertubuhan gay yang mempunyai ahli yang terdiri dari orang-orang islam seperti berikut :

Gay and Lesbian Arabic Society (GLAS):

Sebuah pertubuhan antarabangsa diasaskan sejak tahun 1988 di Amerika Syarikat.Matlamat penubuhan adalah untuk memperkenalkan imej gay agar dipandang positif oleh masyarakat dunia dan memadamkan tanggapan negatif kepada golongan mereka.

Yayasan Al-Fatiha:

Sebuah pertubuhan muslim gay, lesbian dan transeksual yang di asaskan oleh seorang warga Pakistan Amerika bernama Faisal Alam pada tahun 1998. Ia mempunyai 14 cawangan di Amerika Syarikat, England, Kanada, Sepanyol, Turki dan Afrika Selatan.

Salaam : Queer Muslim Community:

Ditubuhkan di Kanada, untuk menarik golongan muslim yang terlibat dalam aktiviti gay, lesbian, biseksual dan transeksual menyertai mereka.

Imaan:

Diasaskan oleh aktivis gay yang berbangsa Pakistan.Mereka ini adalah penyokong tegar LGBT.


*Antara Bendera Pengikut Dajjal di akhir zaman !


Itulah beberapa nama pertubuhan gay muslim yang sedia ada, mungkin sehingga kini masih banyak lagi pertubuhan-pertubuhan gay yang masih menyembunyikan diri. Mereka hanya menunggu masa saja untuk menonjolkan diri. Itulah sebabnya ada sesetengah pihak yang beria-ia sangat untuk membuat demonstrasi memperjuangkan LGBT di Negara kita kerana mereka tahu bahawa sudah ada ramai golongan gay di Negara ini yang akan meyokong mereka dari belakang. Mungkin juga mereka sedang menungu seorang tokoh yang digelar “Biseksual” itu menjadi Pemimpin Negara, barulah impian mereka akan tercapai.

Oleh itu, katakan TIDAK kepada pemimpin Biseksual.

Katakan TIDAK juga kepada Parti Politik jahat yang menyokong LGBT.


*[ Artikel ke-246 Sangtawal Sakranta ]...


Monday, March 05, 2012

Janggi Gerdana Dan Perjalanan Bala Tentera Inderaputera



Tajuk : Janggi Gerdana Dan Perjalanan Bala Tentera Inderaputera.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Dalam Hikayat Inderaputera, ada diceritakan bahawa Inderaputera ada memiliki seekor kuda bernama Janggi Gerdana, yang diperolehi dari dalam sebuah gua tempat perbendaharaan rahsia Raja Baharum Tabak. Pintu gua tersebut dijaga oleh seekor ular bernama Ular Mamdud. Gua itu terletak disebelah matahari mati, selepas meredah padang yang luas, iaitu antara gunung-gunung yang tinggi .

[[ Syahadan di dalam perbendaharaan itu ada empat puluh bilik. Maka dilihatnya oleh Inderaputera segala bilik itu penuh dengan benda yang mulia-mulia daripada emas dan perak…. Maka dilihatnya pakaian yang indah- indah di bilik yang lain. Kemudian masuklah pula ia kedalam sebuah bilik yang lain lagi. Maka dilihatnya beberapa alat peperangan daripada taming dan lesir dan zirah serta ketopong dan pedang dan segala kelengkapan maka penuhlah.

Maka Inderaputera pun hairan melihat bilik-bilik itu penuh dengan beberapa pakaian daripada mahkota raja yang dahulu-dahulu kala

Kuda Janggi Gerdana .. warnanya hijau, kepantasannya umpama kilat. Pelananya bertatahkan ratna mutu maknikam tertulis nama “Janggi Gerdana” ]] . [ Hikayat Inderaputera – m/s 81 ].

Dalam Hikayat ini juga diceritakan betapa gah dan hebatnya perjalanan Inderaputera bersama bala tenteranya :

[[ Hatta maka seketika lagi maka kedengaranlah sekalian bunyi-bunyian terlalulah azmat bunyinya berbagai-bagai ragam daripada harebab kecapi, dandi, muri, serdam, madali, kopak, ceracap, merangu, nafiri terlalu ramai. Maka kelihatan seratus empat puluh tombak yang keemasan berikatkan emas dan intan dikarang gemerlapan seperti bintang di langit. Syahadan maka terdirilah jogan alamat kerajaan yang indah-indah daripada ratna mutu maknikam,dan empat puluh anak raja-raja yang memakai pedang kerajaan berhulukan maknikam dan bersarungkan emas dan bertatahkan intan baiduri. Arakian empat puluh payung kuning terlalu indah-indah rupanya dan pada kemuncaknya itu dibubuhnya gemala terlalu amat bercahaya-cahaya gilang gemilang gemerlapan rumbai-rumbainya mutiaranya itu daripada intan baiduri nilam pualam puspa ragam sekaliannya gemercing bunyinya adalah laksana bunyi buluh perindu bunyinya itu terlalu amat merdu akan sekalian hati mendengar akan dia.

Maka dibawah payung itulah Inderaputera datang mengenderai di atas kudanya yang bernama Janggi Gerdana. Maka pelana kudanya itu daripada emas sepuluh mutu yang bertatahkan ratna mutu maknikam dan pakaiannya terlalu indah-indah serta menyandangkan pedang yang beremas dan pada kanannya Inderaputera itu Dikar Alam, dan dari kirinya itu Dikar Agus dan dihadapannya itu Dikar Kilat dan dibelakangnya itu Dikar Seruna. Maka segala hulubalang itu memakai pakaian gemala hikmat dan rakyatnya pun demikian juga sekalian itu mustaiblah dengan alat senjatanya dan ada memakai zirah berbagai-bagai warnanya. Kalakian maka Inderaputera pun berjalanlah diiringkan oleh segala bala tenteranya sekalian.]]
[ Hikayat inderaputera- m/s 137 – 138 ]

Kuda dikatakan akan menjadi satu jenis kenderaan utama di dalam syurga.Saya petik sedikit tulisan dari buku ini : “Pengembaraan Roh Merentasi 7 Destinasi”
( Tulisan Muhammad Isa Selamat, terbitan Darul Nu’man, cetakan ke-2 1999, m/s226 – 227 ) :

[[ Kuda Dalam Syurga:

Dalam hal ini ada Hadis yang bermaksud : Ada seorang bertanya kepada Nabi SAW : Apakah ada kuda dalam Syurga? Jawab Nabi SAW : Jika engkau dimasukkan Allah ke dalam syurga, maka engkau akan menunggang kuda dari yakut merah. Engkau akan menungganginya kemana suka. [ Riwayat Tirmizi].

Didalam Hadis Al Bara’I Nabi saw mengatakan bahawa didalam syurga itu orang selalu menunggangi kuda tangkas lagi kuat. Kuat lari kuda itu bukan main cepatnya. Dalam menafsirkan hadis ini Hasan Basri mengatakan : Di waktu memasuki pintu syurga iaitu mereka disambut oleh wildan, iaitu anak-anak yang meninggal sebelum baligh. Anak-anak ini menunggang kuda dari yakut merah dan bulunya terbuat dari emas. Nabi mengatakan bahawa di dalam syurga itu orang berpergian kemana suka mengenderai unta muthiah dan kuda najib. Dan pada hari lainnya mereka menunggangi kuda berpelana dan bertali kekang. Kuda ini tidak pernak berak dan kencing.Orang akan menungganginya kemana suka . [ Riwayat Tirmizi ] ]]

P/ssstt !!! … oleh itu kepada mereka yang tidak sempat membeli, memelihara atau menunggang kuda semasa hayatnya di dunia ini, janganlah bersedih, kita akan berkesempatan untuk menunggangnya di akhirat nanti iaitu didalam Syurga jika diizinkan oleh Allah swt .. InsyaAllah …

Mohonlah keampunan, rahmat dan keredhaan Allah swt selalu … Amin.


*[ Artikel ke-245 Sangtawal Sakranta ] ....


Monday, February 20, 2012

Kuda Terbaru Sangtawal : "Black"



Kuda Terbaru Sangtawal : “ Black


Sempena mengambil keberkatan Hari Keputeraan Nabi Muhammad Saw, iaitu pada hari Ahad, 5.2.2012 bersamaan dengan 12 Rabi-ul-awal 1433H yang lepas, saya telah membeli seekor lagi kuda menjadikan bilangan kuda yang dimiliki adalah 3 ekor. Membeli dan memelihara haiwan yang paling disayangi dan diminati oleh Rasulullah saw ini banyak faedah dan hikmahnya.



Kuda yang baru dibeli berumur 8 tahun, kuda jantan baka Kacukan Kelantan jenis B berwarna hitam. All black! Saya berikan nama baru iaitu “Black” kepada kuda ini.

Kuda ini sangat baik, jinak, tahan lasak , mudah mengikut arahan dan pernah memasuki pertandingan “Racing” dan “Endurance”. “Stering” nya sangat ringan seperti kuda polo, dan “gear”nya smooth. Bila pegang je “whip” di tangan, Black asyik nak memecut jer…

Pertama kali melihat dan menunggangnya, hati terus berkenan lalu terus membelinya.


*Sitra(kiri) dan Zehra(kanan)

Black dibeli kerana kuda pertama yang saya miliki iaitu Sitra sedang sarat mengandung 9 bulan lebih hasil kacukan dengan seekor kuda arab.Walaupun Sitra masih boleh dinaiki, tetapi saya berasa kesian dan rasanya Sitra tidak berapa sesuai untuk saya beriadah secara lasak dengannya. Saya doakan semoga Sitra akan melahirkan seekor anak kuda kacukan Arab yang cantik dalam masa 2 bulan lagi.


*Zehra yang lincah.

Anak kuda yang saya belikan untuk anak-anak saya , iaitu Zehra, kini telah berumur 2 tahun. Zehra sudah boleh ditunggang, cergas dan agak nakal sedikit iaitu suka menggigit orang yang tidak dikenalinya! Semakin ia membesar bentuk muka dan telinganya lebih menyerupai kuda India iaitu baka Malwari ikut sebelah bapanya, tetapi bentuk badannya masih mengekalkan bentuk kuda padi dari sebelah ibunya. Anak-anak saya amat menyayangi Zehra.

Semoga Black - si kuda hitam ceria selalu di kandang baru bersama Sitra dan Zehra.


*[ Artikel ke-244 Sangtawal Sakranta ]